HIBURAN

ZAMAN ini bukanlah satu perkara yang pelik apabila melihat seseorang yang tidak rabun memakai kacamata berbingkai besar. Sesetengahnya pula, jika dilihat dengan jarak dekat, hanya memakai bingkainya manakala cerminnya pula sudah dibuang.
Namun, itulah trend terkini bagi penggemar cermin mata. Tidak seperti kebanyakan pengguna yang lebih gemar memakai kanta lekap yang mudah didapati dalam pelbagai warna, cermin mata dapat membuatkan saiz mata kelihatan lebih besar.
Cermin mata bukan lagi memberi maksud pemakainya mengalami masalah penglihatan seperti sensitif pada silau atau rabun. Ia kini adalah sebahagian aksesori yang menjadi pelengkap gaya individu.
Pilihan cermin mata tampil dalam pelbagai rekaan terutama rekaan klasik yang menjadi kegilaan masa kini. Bingkai ringkas rona hitam bersaiz besar seringkali dilihat menjadi pilihan dalam kalangan remaja.
Bagi pelakon dan pengacara, Zoey Rahman, dia menjadikan cermin mata sebagai aksesori wajib kecuali ketika sedang menjalani penggambaran yang memerlukan dia menanggalkan cermin mata.
“Saya sudah memakai cermin mata sejak menuntut di kolej. Kekerapan menggunakan komputer untuk melakukan tugasan kolej dan ketika penggambaran membuatkan saya mengalami masalah silau dan perlu memakai cermin mata.
“Tetapi dulu, saya hanya menggunakan cermin mata akibat silau. Kini, saya mempunyai beberapa koleksi cermin mata pelbagai saiz dan rekaan yang boleh disesuaikan dengan penampilan saya yang berbeza,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran bersama Stepper Eyewear dan Pantone Universe Eyewear di Viva Mall.
Zoey memberitahu, dia tidak dapat berpisah dengan cermin matanya, justeru dia sentiasa memastikan cermin matanya sentiasa berada di dalam poket seluar sekiranya dia menghadiri sebarang acara.
“Kadang-kadang, saya perlu memakai kanta lekap ketika menghadiri majlis tertentu atau menjalani penggambaran. Tetapi selepas semua urusan selesai, saya akan menanggalkan kanta lekap kerana tidak selesa lalu memakai cermin mata semula.
“Rekaan cermin mata yang saya gunakan setiap hari bersaiz kecil. Saya juga mempunyai beberapa cermin mata lain yang lebih besar namun rekaan ringkas menjadi pilihan saya,” ujarnya.
Tambah Zoey, dia mempunyai obsesi untuk membeli cermin mata baharu lebih-lebih lagi setiap kali melalui kedai cermin mata.
“Setiap kali membeli cermin mata, saya peruntukkan lebih RM1,000 kerana saya memang sukakan penampilan bercermin mata dan mempunyai koleksi cermin mata pelbagai warna yang mengikut trend masa kini.
“Saya juga pernah membeli cermin mata di butik Topman kerana sukakan bingkainya dan menukarkan cerminnya di kedai cermin mata,” katanya yang kini merupakan pereka kanan di Calista Design yang terletak di Taipan Damansara.

Farhan pilih klasik
Sementara itu, penyanyi Farhan turut menggemari cermin mata meskipun tidak dilihat memakainya ketika menghadiri sebarang acara.
“Saya sukakan cermin mata yang mempunyai rekaan fancy dan klasik kerana ia sesuai dengan imej saya,” katanya yang menggunakan cermin mata sejak di bangku sekolah menengah.
Menurut Farhan, dia tidak menghabiskan wang yang banyak untuk membeli cermin mata kerana selesa menggunakan hanya satu cermin mata pada satu-satu masa.
“Saya akan memakai cermin mata pada waktu malam terutamanya ketika memandu dan membaca. Bagi saya, cermin mata kini sudah menjadi trend dan bukan lagi dianggap sesuatu yang tidak bergaya atau memalukan pemakainya,” katanya.
Farhan memberitahu, sejak bergelar penyanyi, dia mengalami masalah silau yang lebih teruk akibat sering ‘melawan’ cahaya di pentas semasa membuat persembahan.
“Akibat masalah tersebut, saya membeli cermin mata tetapi tidak mahal, sekitar RM300 sahaja. Yang penting bukan harganya tetapi rekaannya yang menepati bentuk wajah dan gaya yang diinginkan,” katanya.














(sumber: http://gambargambarpelik.blogspot.com/2011/09/lambang-gaya-peribadi.html)